ZII Jia membalas pukulan Tien Chen pada separuh akhir Terbuka Thailand hari ini. — FOTO AFP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


IMPIAN pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia untuk merasai nikmat final sulung tahun ini tidak kesampaian apabila dia tumpas pada separuh akhir Terbuka Thailand di tangan pilihan ketiga dari Taiwan, Chou Tien Chen.

Zii Jia yang pernah menumpaskan Tien Chen dua kali, terpaksa akur dengan prestasi semasa pemain ranking ketiga dunia itu apabila tumpas 14-21, 20-22 dalam masa 46 minit.

Aksi di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok berlangsung sengit terutama pada set kedua apabila kedua-dua pemain saling bergilir memungut mata namun nasib jelas sekali tidak memihak kepada pemain dari Kedah itu.

Bagaimanapun, mara ke separuh akhir kejohanan bertaraf Super 500 itu satu pencapaian terbaiknya musim ini selepas enam kali terkandas pada suku akhir.


TIEN Chen meraikan kemaraannya ke final selepas menewaskan Zii Jia (kanan) di Bangkok. — FOTO AFP

Sebelum ini Zii Jia terkandas pada suku akhir Masters Thailand, Masters Malaysia, Masters Indonesia serta Terbuka Jerman, Terbuka New Zealand dan Terbuka Indonesia.

Kali terakhir Zii Jia kalah kepada Tien Chen adalah pada suku akhir Terbuka Jerman dan rekod pertemuan mereka setakat ini menyaksikan pemain berusia 21 tahun itu ketinggalan 2-3.

Selepas ini Zii Jia mempersiapkan diri untuk beraksi pada Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland dari 19 hingga 25 Ogos depan.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Dunia 2016 itu menduduki ranking ke-17 dunia ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 8:56 PM