KHAMBESWARAN layak ke final bertemu Juwaidi. — FOTO Osman Adnan
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


PEMANAH negara menyahut cabaran Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) supaya tidak pulang tangan kosong daripada siri kedua Piala Asia di Taiwan.

Malaysia sudah pasti pulang dengan sekurang-kurangnya satu emas apabila dua pemanah compound lelaki mempamerkan kehebatan mara ke final di Taipei.

M Khambeswaran membuktikan pemilihannya menggantikan pemanah berpengalaman, Lee Kin Lip bagi tiket Sukan SEA 2019 tepat apabila menempah tiket ke final untuk bertemu rakan sepasukan, Juwaidi Mazuki, Isnin ini.

Seorang lagi pemanah compound, Syahrizan Jafar akan turun dalam penentuan pingat gangsa menentang Chun Kit Tsui dari Hong Kong.


KHAIRUL Anuar melangkah ke final recurve individu. — FOTO Supian Ahmad

Turut cemerlang naib juara dunia kategori recurve, Khairul Anuar Mohamad yang mara ke final bertemu Kim Pil Joong dari Korea Selatan, Selasa ini.

Manakala Muhammad Akmal Nor Hasrin akan merebut gangsa dengan menentang pemanah dari Korea Selatan, Kim Hyeon Jong.

Saingan compound wanita menyaksikan gangsa menjadi milik negara apabila Nur Aina Yasmine Halim bertemu rakan sepasukan, Nurul Syazhera Mohd Asmi.

Mereka akan meneruskan acara berpasukan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 7:23 PM