SUFFIAN kini terlantar di HSNZ. FOTO/NSTP
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) meminta peminat setia skuad Terengganu FC (TFC) tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penyakit yang dihidapi penjaga gol berpengalaman, Suffian Abdul Rahman yang kini terlantar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dekat sini sejak Khamis lalu.

Sebaliknya PBSNT mengharapkan peminat skuad Penyu itu mendoakan agar pemain berusia 41 tahun itu yang lebih mesra dipanggil Tiger cepat sembuh dan kembali menjalani latihan seperti biasa.

Pengurus pasukan TFC, Ahmad Shahrizal Yahya berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan penyakit penjaga gol itu kerana belum mendapat pengesahan daripada doktor di hospital berkenaan.

“Rabu lalu, dia memaklumkan tidak dapat menjalani latihan kerana masalah kesihatan dan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan sebelum kami dimaklumkan dia dimasukkan ke wad di HSNZ.

"Jadi saya tidak berani untuk memberi ulasan lebih lanjut kerana saya tidak pasti sama ada dia mengalami masalah jantung atau sebaliknya.

"Setakat ini, kita belum mendapat pengesahan dan laporan lengkap daripada pihak hospital berhubung penyakit itu cuma ketika melawatnya, kita dimaklumkan dia mengalami serangan jantung tetapi pihak doktor pasukan TFC sedang berurusan dengan pihak hospital.

"Dalam masa sama, kita sudah menghantar wakil PBSNT, namun pihak hospital memohon Suffian tidak diganggu bagi proses rawatan.

"Saya dimaklumkan dia kini berada dalam keadaan stabil cuma di bawah pemantauan pihak hospital," katanya yang memaklumkan PBSNT juga turut menghormati permintaan keluarganya agar perkara ini tidak dihebohkan terlebih dahulu sebelum mendapat pengesahan daripada pihak HSNZ.

Musim lalu, bekas penjaga gol kebangsaan itu adalah antara watak penting kejayaan skuad Penyu muncul naib juara Piala Malaysia dan menduduki tangga keempat Liga Super.

Pemain paling senior Liga Malaysia (Liga M) itu yang menyarung jersi skuad TFC bermula pertengahan 2017 juga beraksi dengan cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini

Terdahulu, laporan di media sosial menyatakan penjaga gol kelahiran Melaka itu dimasukkan ke hospital selepas mengalami serangan jantung

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 1:36 PM