PEMAIN Bayern meraikan kejayaan muncul juara Bundesliga musim lalu. - FOTO Reuters
AFP

BAYERN Munich kembali meneruskan perseteruan dengan Borussia Dortmund pada Piala Super Jerman awal pagi Ahad ini ketika skuad Bavaria itu gigih memburu khidmat bintang Manchester City, Leroy Sane bagi memperkuatkan pasukan mereka.

Aksi pembuka tirai ‘blockbuster’ Bundesliga di Dortmund itu sekali lagi mempertemukan dua kelab terhebat Jerman selepas Bayern mengekang asakan hebat Dortmund sebelum meraih gelaran liga ketujuh berturut-turut pada hari terakhir musim lalu.

"Ini gelaran pertama yang penting bagi kami,” kata bintang Jerman, Thomas Mueller baru-baru ini. "Perlawanan ini mempunyai tarikan tersendiri. Kami mahu menunjukkan bahawa kami sudah bersedia. Kami akan memberikan segalanya untuk itu.”

Seperti dikatakan pemain pertahanan, Niklas Suele, Bayern mahu memberi amaran mereka kekal pasukan yang perlu ditewaskan di Jerman.

Dortmund pula bekerja keras menandatangani pemain baharu termasuk pemain sayap, Thorgan Hazard dan Julian Brandt yang kemudiannya Brandt terpaksa diketepikan akibat kecederaan dan membawa balik Mats Hummels dari Bayern bagi memperkasakan pertahanan.

Ketika Bayern mengikat pemenang Piala Dunia dari Perancis, Lucas Hernandez dan Benjamin Pavard, pemain sayap City, Sane kekal menjadi idaman mereka.

Menurut laporan, Bayern perlu membelanjakan sekitar 90 juta euro (RM414 juta) yang juga harga rekod kelab. Malah mereka menunda sesi foto pasukan ke September dengan harapan pemain berusia 23 tahun dapat menyertai mereka.

Ketua jurulatih, Niko Kovac pada mulanya mengumumkan ‘Saya andaikan kami akan dapat memiliki dia’ hujung minggu lalu tetapi Bayern menafikannya.

Kovac menghubungi rakan sejawatan di City, Pep Guardiola bagi meminta maaf susulan percubaan memancing Sane dengan cara agresif yang turut tidak disenangi pengurusan Bayern.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 10:50 AM