Megat Shahriman masih berminat untuk bertanding. FOTO fail NSTP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


SELEPAS sebulan setengah masih belum ada tarikh baru untuk pemilihan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) namun bagi Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin minat beliau untuk bertanding masih belum pudar.

Menurutnya, beliau masih lagi berminat untuk membantu memajukan sukan dan semangat itu tidak pernah lenyap.

"Minat untuk membantu, memajukan sukan dan menabur bakti tidak pernah lenyap sehingga ke akhir hayat saya. Saya tidak pernah berhenti dan ia bermula sebelum saya masuk ke MPM lagi sejak zaman bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB)," katanya selepas sidang media Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), hari ini.

Ujar Megat Shariman, pihak bertanggungjawab harus menjalankan tugas dengan telus agar integriti sukan terbela tanpa ada unsur yang menghalang.

"Setakat ini saya tidak mendapat sebarang maklumat (mengenai pemilihan).

Saya hanya lepaskan kepada exco MASCA untuk mengendalikan proses ini. Selepas ada sebarang maklum balas barulah saya akan menjalankan tugas," katanya.

Mesyuarat agung tahunan (AGM) MPM bagi penggal 2019-2023 yang sepatutnya berlangsung 29 Jun ditangguhkan.

Timbalan Presiden MPM, John Ng yang mempengerusikan AGM ketika itu mengumumkan penangguhan pemilihan berkenaan selepas selesai mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik.

Penangguhan itu turut mendapatkan sokongan majoriti yang mana 14 dari 24 ahli gabungan bersetuju untuk menangguhkan pemilihan AGM ke satu tarikh yang akan diputuskan kelak.

Megat Shahriman ketika itu dicabar oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang dipalit dengan kontroversi menghantar borang pencalonan melebihi tempoh dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 4:55 PM