MARIA kini duduki ranking 81 dunia. - FOTO AFP
AFP

BEKAS pemain nombor satu dunia Maria Sharapova dan Venus Williams diberikan tiket wildcard untuk menyertai kejohanan WTA Cincinnati bulan depan, kejohanan pemanas badan sebelum Terbuka Amerika Syarikat.

Kedua-duanya akan berentap dalam undian utama di kejohanan yang berlangsung di atas gelangggang keras pada 12-18 Ogos.

Maria salah seorang daripada enam pemain wanita yang melengkapkan karier Grand Slam. Pemain Rusia berusia 32 tahun itu meraih 36 gelaran WTA termasuk lima trofi Grand Slam dan kini menduduki ranking ke-81 dunia. Gelaran Grand Slam terakhirnya ialah Terbuka Perancis 2014.

Maria mengalami kecederaan bahu berulang dan berehat empat bulan sebelum kembali beraksi di atas gelanggang rumput namun terpaksa menarik diri pada set ketiga aksi pembukaan Wimbledon.

Dia menjuarai gelaran Cincinnati 2011 tetapi tewas aksi separuh akhir pada penampilan terakhir 2014.

Venus , 39, pula memiliki tujuh gelaran Grand Slam dan sembilan kali naib juara di samping 49 trofi WTA. Pemain veteran AS itu yang kini di ranking ke-51 dunia menang pingat emas Olimpik Sydeny 2000 dan tiga gelaran beregu Olimpik bersama adiknya, Serena.

Kejohanan kali ini yang ketujuh buat Venus sepanjang 25 tahun karier WTAnya dengan pencapaian terbaik pada 2012 apabila tewas di separuh akhir.

Venus juara lima kali Wimbledon tewas kepada pemain kelayakan berusia 15 tahun dari AS, Coco Gauf pada pusingan pertama kejohanan itu.

"Maria danVenus dua bekas juara terhebat dalam sejarah tenis,” kata Pengarah Kejohanan, Andre Silva. "Kami teruja mereka dapat beraksi.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 7:55 AM