ISMAIL (dua dari kanan) ketika menghadiri mesyuarat jawatankuasa pemilihan Sukan SEA 2019. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) masih belum berbincang dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung isu membabitkan dua bekas tekong.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail menjelaskan, pertemuan dengan MSN mungkin diadakan selepas saingan Piala Emas Khir Johari yang berlangsung di Terengganu.

“Beliau (Datuk Ahmad Shapawi) sudah bertemu dengan semua jurulatih. Manakala kami di bahagian pengurusan, akan menemui beliau minggu depan kerana kami mempunyai kejohanan di Terengganu,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini mengarahkan MSN menyelesaikan isu pengguguran membabitkan Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak.


SYAHIR (kiri) dan Zukifli yang digugurkan dalam skuad kebangsaan. FOTO Owee Ah Chun

Syed Saddiq melihat secara serius perkara berkenaan kerana ia membabitkan atlet yang sudah menyumbang emas kepada negara di Sukan SEA dan Asia.

Ditanya mengenai penggantungan sementara ke atas dua tekong berkenaan, Ahmad menjelaskan ia seperti yang tertulis pada surat yang diserahkan kepada mereka dan mereka perlu menjawab surat tunjuk sebab sebelum dipanjangkan kepada Jawatankuasa Tatatertib PSM.

Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat pemilihan atlet di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang menyaksikan skuad lelaki dan wanita negara diletakkan dalam kategori A bagi bertanding di Sukan SEA nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 6:00 AM