JENTERA dipandu Hamilton terbabas di Litar Hockenheim. - FOTO AFP
Agensi

KETUA pasukan Mercedes, Toto Wolff menganggap Grand Prix Jerman yang tamat semalam sebagai minggu ‘Armageddon' selepas Lewis Hamilton terbabas dua kali dalam hujan.

Dianggap salah satu perlumbaan paling menarik sejak beberapa tahun lalu dimenangi pelumba Red Bull, Max Verstappen dengan Hamilton melonjak dari tangga ke-11 ke tangga ke-9 selepas dua pelumba Alfa Romeo dikenakan penalti.

Hamilton hanya berlumba saat akhir selepas dibenarkan doktor FIA pada awal pagi semalam akibat masalah kesihatan dialami sejak tiba di Hockenheim.

Mercedes hanya meraih dua mata selepas penalti 30 saat dikenakan ke atas dua pelumba Alfa, Kimi Raikkonen dan Antonio Giovinazzi, Wolff berkata: “Hari dukacita buat kami. Ini adalah perlumbaan kereta dan ia tamparan buat kami tetapi menjadikan kami lebih baik pada masa akan datang.

“Kami akan mencari di mana silapnya, ini adalah minggu Armageddon buat kami.”

Pegawai Mercedes berpakaian era 1950-an bagi meraikan ulang tahun ke-125 pembabitan mereka dalam permotoran dan grand prix ke-200, sesuatu yang mungkin dikesali Wolff selepas kegagalan Hamilton dan nahas membabitkan Valtteri Bottas.

“Ini menunjukkan anda tidak boleh ‘bermain-main’ dengan staf. Anda perlu fokus dengan tugas,” kata Wolff.

“Kami tidak percaya perkara karut tapi kami yakin dengan karma dan hari ini kami perlu belajar. Apabila anda mahu sesuatu itu berjalan dengan lancar, ia menjadi sebaliknya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 12:22 PM