LAMPARD memberi arahan kepada pemainnya di Stadium Madejski. - FOTO Reuters
Agensi

FRANK Lampard meraikan kemenangan pertama sejak mengendalikan Chelsea tetapi pada masa sama mendesak penyokong menghentikan nyanyian popular yang merujuk dirinya.

Lebih 2,000 penyokong berada di Reading ketika skuad Lampard menang 4-3 semalam menerusi jaringan Ross Barkley, Kenedy dan dua daripada Mason Mount.

Mereka menunjukkan sokongan ke atas Lampard dengan menyanyikan lagu tapi satu lagu yang merujuk jaringan ke-200nya ketika menentang West Ham dianggap menghina penyokong lawan.

“Sokongan penyokong sangat mengagumkan,” kata Lampard. “Sebagai bekas pemain, saya amat menghargai sokongan penyokong selama ini.

“Tetapi kami tak mahu lagu yang mempunyai lirik penghinaan. Kami tak mahu mendengarnya. Jika penyokong menyanyikan lagu lain, saya pasti menyokong mereka.

“Malah kelab turut tegas dalam hal in tanpa prejudis.” '

Musim lalu, aktivis anti perkauman dikenali sebagai ‘Kick It Out’ membidas penyokong Chelsea yang mengejek pemain Mesir, Mohamed Salah, manakala empat penyokongnya ditahan ketika siasatan dijalankan susulan ejekan berbaur perkauman ke atas penyerang Manchester City, Raheem Sterling ketika dia beraksi di Stamford Bridge.

Chelsea menang tiga daripada lima aksi pramusim dan akan mengharungi persiapan akhir di Austria dan Jerman sebelum menentang Manchester United di tempat lawan dalam aksi pembuka tirai Liga Perdana pada Ahad ini.

N'Golo Kante yang dihantar pulang lebih awal dari Jepun bagi menjalani rawatan pemulihan akibat kecederaan lutut tidak beraksi di Reading tetapi Chelsea menjangkakan dia kembali cergas menjelang aksi di Old Trafford.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 11:29 AM