Mohd Faisal Rosli.
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


TERLEPAS lima perlawanan terakhir Liga Super begitu memeritkan buat pemain pertahanan Pahang, Mohd Faisal Rosli bagi menghadapi saingan Piala Malaysia.

Mohd Faisal atau dikenali Tocang berkata, kecederaan lutut kanan dialami pada separuh akhir kedua Piala FA menyaksikan dia terpaksa berehat panjang.

“Sudah pasti saya terkilan apabila terlepas lima perlawanan walaupun Pahang muncul naib juara Liga Super musim ini.

“Namun, saya sudah menjalani latihan ringan bersama rakan sepasukan dan berusaha mengembalikan prestasi terbaik terutama dari segi kecergasan.

“Ini kerana beraksi dalam saingan Piala Malaysia, semua pasukan mahu menjulang piala berprestij itu memerlukan komitmen tinggi,” katanya.

Kecederaan dialami Mohd Faisal menyaksikan kekosongan ditinggalkan pemain pertahanan itu diisi Zubir Azmi.

Prestasi mantap ditampilkan Zubir memberi saingan sengit kepadanya untuk merampas kembali posisi itu.

Saingan Piala Malaysia membuka tirai 3 Ogos ini dan skuad kendalian Dollah Salleh diundi dalam Kumpulan C bersama juara bertahan Perak, Sabah yang baru dinobatkan juara Liga Perdana dan Pulau Pinang.

Ditanya peluang Pahang menjulang kembali piala itu dengan kali terakhir dimenangi pada 2014, Mohd Faisal yakin skuad itu mampu melakukannya sekali lagi musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 1:33 PM