Pemain City, Leroy Sane (kanan) dicabar dua pemain Yokohama. FOTO REUTERS
AFP

KEVIN De Bruyne, Raheem Sterling dan Lukas Nmecha menemui sasaran ketika kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City melengkapkan jelajah Asia mereka dengan kemenangan 3-1 mengatasi kelab Jepun, Yokohama Marinos, hari ini.

Bernardo Silva membuka ruang buat De Bruyne merembat bola dengan kaki kiri untuk gol pembukaan di hadapan perlawanan disaksikan 65,000 penonton di Stadium Nissan, terletak berdekatan Tokyo.

Keita Endo membuat kejutan menyamakan kedudukan untuk Yokohama sebelum De Bruyne membuat larian membolehkan Sterling menyudahkan bola melepasi penjaga gol biarpun dikejar dua pemain pertahanan.

Aksi babak pertama yang pantas bertukar perlahan pada separuh masa kedua dengan kedua-dua pasukan terlepas beberapa peluang dengan percubaan Sterling m-58 dibatalkan kerana berada dalam kedudukan offside.

Percubaan Kazaki Nakagawa dinafikan oleh penjaga gol City, Claudio Bravo sebelum Nmecha, 20, menjaringkan gol ketiga skuad pelawat pada penghujung perlawanan selepas menyambut hantaran lintang pemain berusia 18 tahun, Adrian Bernabe.

Kejayaan itu menamatkan jelajah Asia yang sukar buat skuad City dikendalikan oleh Pep Guardiola yang tiba lewat dua hari di China.

Dia juga berdepan kritikan media China berikutan sambutan dingin terhadap peminat di negara itu.

The Sky Blues kembali ke England untuk berdepan Liverpool pada perlawanan Perisai Komuniti sebelum saingan musim baru EPL bermula seminggu selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 10:21 PM