Andrieieiv (kanan) menyekat serangan pemain JDT, Safawi Rasid. FOTO NSTP
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


BIARPUN baru kali pertama menyarung jersi skuad Terengganu FC (TFC) musim ini bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi terakhir Liga Super, prestasi bekas pertahanan Terengganu FC II (TFC II), Serhii Andrieiev tidak mengecewakan.

Pemain kelahiran Ukraine berusia 29 tahun itu bukan saja kental bertahan tetapi mampu menjaringkan gol menerusi tandukan gol kedua TFC ketika seri 3-3 dengan skuad Harimau Selatan.

Hal itu diakui penolong jurulatih TFC, Mohamad Nik yang mengharapkan kehadiran pemain tinggi lampai itu mampu memperkukuhkan jentera pertahanan skuad Penyu dalam saingan Piala Malaysia awal Ogos ini.

"Dia (Andrieiev) bermain dengan baik di posisi pertahanan bertemu JDT walaupun kali pertama beraksi dengan pasukan TFC.

"Lebih menggembirakan kami, dia menghasilkan jaringan selain menjadi pemain sasaran kita meledak gol melalui situasi 'set-piece'.

Jadi kehadiran pemain itu tepat pada masanya," ujar Mohamad.

Terengganu, naib juara Piala Malaysia musim lalu terpaksa mengerah kudrat pemain tempatan di posisi pertahanan bermula awal Jun lalu selepas bekas pemainnya, Igor Zonjic digugurkan kerana prestasi tidak konsisten.

Lebih malang pemain baharu yang menggantikan Zonjic, Luis Gustavo Camilo dari Brazil gagal menyarung jersi skuad itu selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) enggan mengeluarkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) kepada pemain itu gara-gara terlewat 30 saat mengemukakan dokumen penting dalam Sistem Pemadanan Perpindahan (TMS).

Rayuan dikemukakan badan induk bola sepak negeri itu juga ditolak FIFA sekali gus memaksa TFC mengambil pemain daripada pasukan 'adik' TFC II untuk memantapkan lagi posisi pertahanan lebih-lebih lagi selepas kehilangan Wan Ahmad Amirzarfran Wan Nadris yang mengalami kecederaan serius dan terpaksa berehat hingga tamat Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Bekas pemain kebangsaan itu menuntut Andrieiev mempamer aksi lebih bertenaga kerana saingan Piala Malaysia lebih mencabar memandangkan Terengganu berada dalam kumpulan 'maut' bersama Kedah, PKNS FC dan Negeri Sembilan.

"Andrieiev perlu mempamerkan aksi lebih mantap kerana saingan Piala Malaysia ini pasti lebih sengit bermula pada peringkat kumpulan lagi," ujar Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 5:09 PM