NEYMAR bergambar dengan rakan sepasukan sebelum berlepas ke China. — FOTO Instagram PSG
AFP

NEYMAR tetap dibawa menyertai jelajah China bersama Paris-Saint Germain, umum kelab itu semalam, ketika masa depan pemain bintang bermasalah Brazil itu masih tidak menentu ketika dia membayangkan tidak gembira di kelab juara Perancis itu.

Pemain berusia 27 tahun itu, yang berkali-kali dikaitkan dengan perpindahan semula ke Barcelona, gagal tampil bagi latihan pramusim PSG pada 8 Julai lalu, dengan kemnya menegaskan dia sudah mendapat kebenaran lebih awal.

Kelab itu mengancam untuk mengambil “tindakan sewajarnya” terhadap pemain termahal dunia itu, yang dikatakan kekal di Brazil untuk menghadiri pertandingan amal lima sebelah yang dianjurkan yayasannya.

Neymar, yang menyertai PSG pada 2017 dengan harga 222 juta euro (RM1.02 bilion), menyertai pasukan itu seminggu kemudian pada 15 Julai lalu.

Dia turut mengeruhkan hubungannya dengan kelab itu apabila secara kontroversi menyatakan perlawanan terindah dalam memorinya adalah mengalahkan PSG ketika dia bermain dengan Barcelona.

Hanya beberapa hari sebelum kembali menyertai kem latihan PSG, dia menyatakan memori terbaiknya apabila memainkan peranan dalam pasukan Barcelona pada 2017 ketika pasukan itu mengatasi defisit 0-4 pada aksi pertama sebelum menang 6-1 pada aksi kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

PSG tiba di Shenzen, China hari ini dan akan bermain aksi persahabatan menentang Inter Milan di Macau Sabtu ini serta Sydney FC di Suzhou pada 30 Julai.

Perlawanan kompetitif pertama mereka musim ini menentang Rennes di Shenzhen pada 3 Ogos bagi merebut Trofi Juara-Juara, perlawanan pembuka tirai tradisi liga Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 8:28 AM