PENYOKONG Perak berkumpul di kaunter jualan tiket di pintu B Stadium Perak bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala FA. FOTO/MUHAIZAN YAHYA
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


TIADA istilah tiket simpanan atau kuota kroni dalam agihan tiket perlawanan akhir Piala FA 2019 hingga menyebabkan ada antara daerah di negeri ini kehabisan tiket dalam tempoh 15 minit lantas mencetuskan rasa tidak puas hati penyokong skuad Bos Gaurus.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Tajul Hasnan Omar berkata, setiap daerah diperuntukkan tiket mengikut jumlah berbeza mengikut permintaan pihak yang menguruskannya.

Beliau berkata, ada antara daerah berkenaan menjual 1,000 tiket saja berikutan jumlah penduduk di kawasan berkenaan yang kurang manakala 1,500 pula diedarkan di lokasi yang mempunyai permintaan tinggi.

“Pengurusan PAFA termasuk di daerah sememangnya tidak menyimpan tiket untuk pihak tertentu atau mengasingkannya bagi diberikan kepada kroni.

“Perkara ini sudah diberitahu sebelum ini malah sehingga sekarang ada kenalan yang menghubungi mahukan tiket tapi saya menjelaskan bahawa mereka perlu membeli sendiri di kaunter yang disediakan.

“Jika ada tiket yang sudah habis dijual dalam tempoh 15 minit terutama di daerah ia adalah perkara tidak boleh dielakkan kerana sambutan menggalakkan daripada penyokong Perak yang mahu ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini,” katanya, ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Tiket perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Perak menentang Kedah habis dijual di setiap daerah dalam tempoh 15 minit manakala di Stadium Ipoh pula kaunter ditutup kira-kira tiga jam kemudian selepas 15,000 tiket berjaya diagihkan kepada penyokong skuad Seladang.

Tajul berkata, berbanding jualan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu, agihan tiket kali ini lebih sistematik dan dapat diagihkan secara menyeluruh kepada penyokong Perak.

“PAFA tidak dapat memenuhi kehendak setiap penyokong Perak kerana tiket yang diperuntukkan adalah 30,000 saja dan mungkin ada antara mereka tidak dapat ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Oleh itu, harap penyokong skuad Seladang memahami situasi berkenaan dan tidak mencetuskan apa jua kontroversi termasuk kononnya ada tiket untuk kroni atau disimpan PAFA,” katanya.

Sementara itu, seorang peminat warga emas sanggup mengeluarkan belanja sendiri dan beratur panjang bagi mendapatkan tiket setiap perlawanan membabitkan Perak, termasuk final Piala FA kali ini.

Itu antara pengorbanan Cik Ri Mohd Ariffin, 65, yang tidak pernah jemu memberi sokongan kepada pasukan kesayangannya dengan hadir ke stadium sejak 1980-an lagi.

Cik Ri yang berasal dari Jelapang berkata, dia menunggu sejak jam 4 pagi untuk mendapatkan tiket bagi perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Perak menentang Kedah, Sabtu ini.

“Saya sudah biasa beratur untuk membeli tiket sejak zaman muda lagi malah jika Perak ke Singapura atau Brunei dahulu untuk saingan liga pun saya tetap berusaha ke sana bagi memberikan sokongan,” katanya ketika ditemui Arena Metro, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 6:10 AM