SUASANA Penyokong Kedah ketika beratur di kaunter jualan tiket di Stadium Darul Aman bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala FA.
Firdaus Hashim dan Izzali Ismail
sukan@hmetro.com.my


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) menepis dakwaan segelintir pihak yang mengatakan sambutan hambar tiket final Piala FA antara Kedah dan Perak disebabkan ketiadaan import berwibawa seperti bekas pemain sebelum ini, Liridon Krasniqi dan Sandro da Silva.

Menurut Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustaffa, sambutan dingin itu mungkin disebabkan peruntukan 20,000 tiket yang dijual di lima kaunter sekitar pekarangan stadium, sekali gus penyokong tidak perlu bersesak-sesak untuk mendapatkan tiket berkenaan.

Malah, penyokong dilihat semakin bijak merancang masa pembelian di kaunter tiket yang dibuka sehingga petang dengan penyokong datang secara berperingkat-peringkat.

“Kalau nak fikir pasal pemain import yang tak bagus saya rasa kita takkan layak ke final Piala FA. Kalau kita rasa pemain yang kita bawa ini tak bagus, takkan kita boleh pergi ke final.

“Jawapan saya kalau kita ada pemain sehebat macam Liridon pun kalau tak ke final tak guna juga. Bagi saya itu satu tanggapan yang kurang tepat, pemain import yang kita ada tahun ini sudah mencapai apa yang kita nak,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu, penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA di pekarangan Stadium Darul Aman dilihat hambar sekali gus tidak menggambarkan keghairahan penyokong Lang Merah yang sebelum ini amat setia menyokong pasukan kesayangan mereka.

Tinjauan Arena Metro di perkarangan stadium mendapati, kebanyakan penyokong berpendapat ketiadaan aura pemain import sehebat Liridon serta persembahan yang kurang konsisten menyebabkan peminat tidak ‘seghairah’ sebelum ini.

Mengulas lanjut, Anas berkata, sekiranya tiket yang dijual tidak mendapat sambutan, pihaknya bercadang membuka kaunter jualan di Lembah Klang pada Jumaat ini bagi membolehkan penyokong Kedah di ibu kota mendapatkan baki tiket berkenaan.

“Dulu kita pernah buka kaunter tiket di sana (Lembah Klang) dalam sejam atau dua jam. Jadi kalau ada baki kemungkinan kita akan bawa untuk dijual kepada penyokong yang tak sempat balik ke sini,” katanya.

Skuad Hijau Kuning kendalian Aidil Sharin Sahak berjaya melangkah ke pentas final dan berpeluang memburu kejuaraan kali kelima selepas kali terakhir memenanginya pada 2017 dengan menundukkan Pahang 3-2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 6:00 AM