AKSI Abraham menjaringkan gol pertama Chelsea selepas memperdayakan penjaga gol Barcelona . - FOTO AFP
Agensi

DUA jaringan daripada Tammy Abraham dan Ross Barkley membantu Chelsea menewaskan Barcelona 2-1 dalam aksi Piala Rakuten di Saitama, Jepun sebentar tadi.

Abraham membuka tirai jaringan pada babak pertama selepas memanfaatkan kesilapan pemain tengah Barcelona, Sergio Busquets dengan Barkley mengesahkan kemenangan menerusi rembatan di luar kotak penalti pada babak kedua.

Ivan Rakitic menghadiahkan gol buat Barca pada minit kecederaan namun sudah terlewat untuk mengelak kekalahan skuad Ernesto Valverde dalam aksi pertama jelajah pramusim mereka berbanding anak buah Frank Lampard yang sudah pun tampil empat perlawanan pramusim dengan dua perlawanan di Ireland dan satu di Jepun.

Barca beraksi tanpa bintang Amerika Selatan termasuk Lionel Messi dan Luis Suarez tetapi menyaksikan penampilan sulung pemain berharga €120 juta (RM551 juta), Antoine Griezmann selain aksi pertama pemain Chelsea dari Amerika Syarikat, Christian Pulisic.

Keputusan 2-1 itu sudah cukup buat Chelsea meraih kemenangan kedua mereka bagi aksi pramusim setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 11:39 PM