BALE tiada tempat di hati Zidane. - FOTO Agensi
AFP

GARETH Bale tidak akan meninggalkan Real Madrid secara pinjaman walaupun dia tidak lagi menjadi pilihan Zinedine Zidane, menurut ejennya hari ini.

Pengurus Real itu berkata minggu lalu, mereka mahu melepaskan bintang Wales berusia 30 tahun itu tetapi wakilnya Jonathan Barnett memberitahu Sky Sports News sebarang perjanjian perlu secara kekal.

"Tidak akan ada perjanjian sementara membolehkan dia keluar daripada kelab ini,” kata Barnett yang sebelum ini berkata Zidane tidak menghormati pencapaian Bale di Real.

"Gareth salah seorang pemain terbaik di planet ini. Saya boleh jamin dia tidak akan dipinjamkan ke mana-mana kelab.”

Bale kini dianggap sebagai bebanan kepada Real di sebalik kejayaannya membantu kelab menjuarai La Liga dan empat trofi Liga Juara-Juara sejak berpindah dari Tottenham Hotspur enam tahun lalu.

Dua jaringannya termasuk ala akrobatik ketika menewaskan Liverpool pada final 2018 tetapi dia kerap memanaskan bangku simpanan selepas Zidane mengambil alih jawatan pengurus pada awal Mac lalu.

"Gareth pemain Real Madrid dan buat masa sekarang dia kekal pemain Real,” kata Barnett.

"Jika ada sesuatu yang sesuai dengan kami, baharulah ada perubahan dan dia boleh angkat kaki dalam masa sehari atau minggu depan atau dia boleh kekal sebagai pemain Real tiga tahun lagi apabila kontraknya tamat."

Real Madrid akan menentang Arsenal dalam aksi persahabatan di FedExField -- venue pasukan NFL's Washington Redskins pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 10:45 PM