AHMAD Faedzal bergambar bersama pemain ragbi kebangsaan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. - FOTO Aizuddin Saad
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


ATLET negara bukan saja perlu bersedia bertarung merebut pingat namun diingatkan mempersiapkan mental terhadap cabaran di luar gelanggang menjelang Sukan SEA Filipina, penghujung tahun nanti.

Ia disuarakan Timbalan Ketua Kontinjen Negara (CDM), Ahmad Faedzal Md Ramli dengan menjelaskan mereka bakal berdepan beberapa cabaran pada edisi ke-30 temasya dwi tahunan itu.

"Temasya kali ini membabitkan tiga kluster utama selain beberapa lokasi lain yang sudah pasti menjadi satu cabaran dari segi pergerakan.

"Malah budaya dan makanan akan berbeza. Jadi mereka perlu bersedia daripada segi mental," katanya selepas melawat persiapan atlet ragbi tujuh sebelah dan bola jaring.

Selain tiga kluster utama di Metro Manila, Clark dan Subic, sebanyak sembilan lokasi lain turut menjadi venue pertandingan. Filipina sememangnya terkenal dengan kesesakan lalulintas dan ia dijangka bakal menjadi salah satu cabaran kepada atlet negara apabila berada di sana. "Kontinjen negara sedang merangka strategi terbaik selain mewujudkan urusetia di setiap kluster utama.

"Kami akan pastikan atlet mendapatkan sokongan terbaik setiap aspek seperti sains sukan untuk membolehkan mereka beraksi pada tahap terbaik," tambahnya.

Malaysia akan menyertai 51 dari 56 jenis sukan yang dipertandingkan di Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 10:11 PM