KETUA Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli bersama bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah bergambar bersama skuad bola jaring kebangsaan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. - FOTO Aizuddin Saad
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

PERUBAHAN taktikal menjadi senjata utama skuad bola jaring negara untuk mempertahankan emas Sukan SEA 2019.

Menurut kapten negara, Nursyafazliyana Mohd Ali, mereka tidak akan menggunakan corak permainan sama seperti edisi 2017.

"Banyak perkara baru kami belajar. Antaranya tentang tahap kelajuan hantaran bola pada jarak dekat," jelasnya.

Bagaimanapun menurut pemain berpengalaman itu, paling utama tidak memberi tekanan kepada diri sendiri bagi membolehkan kejayaan dicapai nanti.

"Kami sedang belajar perkara baru, jadi sebaik mungkin akan menjadikan ia sesuatu menyeronokkan," tambahnya.

Malaysia kendalian Tracey Robinson dijangka akan terus bersaing dengan musuh tradisi, Singapura pada edisi ke-30 nanti.

"Kami sedang menganalisa permainan Singapura yang beraksi di Piala Dunia baru-baru ini bagi mencari strategi mengalahkan mereka.

"Pada masa sama kami tidak memandang rendah negara lain kerana tidak tahu prestasi mereka dalam tempoh dua tahun ini," tambahnya.

Malaysia menamatkan kemarau emas 16 tahun pada 2017 apabila menewaskan Singapura 65-41 di final yang berlangsung di Stadium Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 9:53 PM