Skuad negara sedia memberi cabaran. FOTO MASCA
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


KEJOHANAN Remaja Antarabangsa Ireland bermula 31 Julai sehingga 3 Ogos ini menjadi medan terbaik untuk skuad kanu polo negara menguji keberkesanan latihan yang dijalankan sejak awal tahun ini.

Tanpa meletakkan sebarang sasaran pingat, kejohanan yang dijangka menarik penyertaan kuasa dunia seperti Hungary itu menjadi antara pentas untuk lima atlet negara menimba sebanyak mungkin pengalaman.

Ia sebagai persiapan akhir skuad kanu polo negara sebelum menghadapi Kejohanan Kanu Polo Asia di Ningbo, China pada September depan.

"Kita akan menghantar seramai lima atlet utama ke Belfast, Ireland untuk mereka menimba pengalaman sebelum ke Kejohanan Kanu Polo Asia selepas ini.

"Sepatutnya Kejohanan Asia berlangsung di Iran pada Ogos ini tetapi kerana kurang mendapat sambutan ia terpaksa dibatalkan dan menjadikan kejohanan di China nanti menjadi kejuaraan utama," kata bendahari Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Mohd Nadzrul Baharom.

Kejohanan Remaja Antarabangsa Ireland bakal menjadi kejohanan kedua disertai pasukan negera selepas sekadar meraih kedudukan kedua tercorot pada Kejohanan Antarabangsa Pas de Calais di Perancis, April lalu.

Meskipun kanu polo tidak dipertandingkan dalam Sukan SEA Filipina 2019, namun ia tetap penting kerana menjadi antara salah satu acara utama Sukan Asia Hangzhou 2022.

Sebagai rekod, skuad kanu polo negara yang beraksi pada Sukan Asia 2018 di Jakarta meraih pingat perak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 5:42 PM