Megat Azrafiq (kiri) sokong cadangan Yahya. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


"KALAU tak dapat main hoki padang, sekurangnya-kurangnya mereka berpeluang beraksi untuk pasukan hoki dalam dewan."

Itu pandangan penolong jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki, Megat Azrafiq Termizi yang menyokong cadangan ketua jurulatih wanita, Yahya Atan bahawa Malaysia perlu mempunyai program hoki dalam dewan yang tersusun dan serius.

Jelas bekas pemain kebangsaan itu, Malaysia sebenarnya mempunyai jumlah pemain hoki yang cukup besar dan bakat yang ada sewajarnya tidak disia-siakan.

"Sudah semestinya saya mengharapkan ada kejohanan kompetitif untuk hoki dalam dewan di sini.

"Sebab kita sebenarnya mempunyai jumlah pemain yang ramai.

Jadi kalau mereka tak ada platform beraksi dalam acara hoki padang, sekurang-kurangnya mereka dapat beraksi bersama hoki dalam dewan.

"Kalau kita menumpukan kepada hoki dalam dewan, tak mustahil juga untuk pasukan negara layak ke Piala Dunia dan bersaing dengan pasukan kuasa besar lain," katanya.

Yahya menerusi laporan Arena Metro, hari ini berpendapat Malaysia tidak akan rugi jika mempunyai program hoki dalam dewan yang tersusun.

Saingan Piala Asia berakhir di Chonburi, Thailand, kelmarin menyaksikan skuad lelaki dan wanita negara mampu meraih tempat ketiga dan keempat walaupun dua pasukan terbabit baru beberapa bulan dibentuk untuk temasya Sukan SEA Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 5:14 PM