Fazriq akui berdebar pertama kali disenaraikan. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


ANAK bekas pemain beregu lelaki negara, Fazriq Razif mengakui tidak dapat menyembunyikan perasaan berdebarnya apabila bakal memulakan aksi di pusingan pertama Kejohanan Remaja Asia di Suzhou, China, esok.

Menurutnya, perasaan berdebar hadir apabila dia bakal berdepan dengan pemain lebih tua darinya tatkala dia baru berusia 15 tahun dan disenaraikan buat kali pertama ke kejohanan ini.

"Ada dalam kalangan pemain tidak pernah saya temui pada mana-mana kejohanan dan ada yang pernah saya lawan sebelum ini kerana umur sama dengan saya," katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Anak kepada Datuk Razif Sidek itu bakal memulakan aksi dengan berdepan Alireza Karimi dari Iran di pusingan pertama.

Jika berjaya melepasi sehingga ke pusingan ketiga, Fazriq dijangka berdepan dengan pilihan kelima kejohanan dari China, Li Yunze.

"Saya tidak fikir banyak, hanya main saja kerana setakat ini saya tidak meletakkan sebarang sasaran.

Saya hanya mahu bermain dengan baik di setiap perlawanan," katanya.

Fazriq masih lagi segar dengan dua kejuaraan yang dirangkul di Grand Prix Final Sirkit Remaja Kebangsaan 100PLUS Bawah 16 tahun.

Selain Fazriq, perseorangan lelaki turut digalas Lee Shun Yang dan Kok Jin Hong, manakala perseorangan wanita pula disandarkan kepada K Letshanaa serta Tan Zhing Yi.

Dalam perlawanan akhir acara berpasukan campuran hari ini, Thailand berjaya merangkul kejuaraan selepas menumpaskan Indonesia 3-2.

Tahun lalu skuad remaja negara meraih satu perak melalui beregu wanita, Pearly Tan-Toh Ee Wei dan satu gangsa acara berpasukan campuran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 4:44 PM