Poncharal (kanan) anggap Hafizh Syahrin pelumba berpotensi. FOTO KTM
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


DI SEBALIK melakukan keputusan menggantikan Hafizh Syahrin Abdullah dengan Brad Binder musim depan, prinsipal pasukan Red Bull KTM Tech 3, Herve Poncharal tetap menganggap pelumba negara itu mempunyai potensi besar di kelas MotoGP.

Poncharal yang mengikuti perkembangan Hafizh sejak dia beraksi di saingan Moto2 berkata, pelumba yang mendapat gelaran Pescao itu mungkin tidak sehebat pelumba ternama dunia lain namun dia jelas mampu memberi saingan.

"Hafizh Syahrin berpotensi menjadi pelumba MotoGP yang baik.

"Dia pastinya tidak seperti Marc Marquez (Repsol Honda) atau Fabio Quartararo (PETRONAS Yamah SRT).

Tetapi dia mempunyai bakat dan mampu berdaya saing dalam saingan MotoGP," katanya dipetik dalam laman web speedweek.com, hari ini.

Cuma kata Poncharal, Hafizh serta pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Johann Zarco masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan jentera KTM.

"Perubahan dari Yamaha ke KTM sukar bagi Hafizh dan perkara sama berlaku kepada Zarco," katanya.

Poncharal berkata, Hafizh bagaimanapun semakin matang dan lebih fokus dalam usahanya untuk memperoleh keputusan yang baik pada setiap perlumbaan.

"Hafizh mempunyai mentaliti berbeza berbanding kebanyakan pelumba MotoGP lain. Tetapi dia kini lebih fokus dan mula berasa lebih baik di KTM.

"Di Assen (Belanda), Hafizh berjaya meraih masa sepusingan terpantas berbanding barisan pelumba KTM lain.

Dia mencatat masa ke-13 terpantas iaitu lebih baik berbanding Pol (Espargaro), Zarco dan Miguel (Oliveira) dan pandangannya juga menarik untuk KTM," katanya.

Komen positif Poncharal itu mungkin dapat menjadi input penting kepada pertemuan antara Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, syarikat petroleum negara, PETRONAS, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Hafizh sendiri dalam tempoh terdekat untuk membincangkan masa depan pelumba berusia 25 tahun itu.

Syed Saddiq dalam laporan semalam berkata, pendiriannya mahu Hafizh beraksi bersama pasukan Malaysia, PETRONAS SRT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 4:24 PM