Guardiola (tengah) bersama skuadnya tidak mahu bercakap kepada peminat. FOTO REUTERS
Agensi

MEDIA China melabelkan Manchester City ‘sombong’ dan ‘tidak menghormati’ tuan rumah ketika jelajah Trofi Asia Liga Perdana ke negara terbabit.

Kelab Etihad itu berkunjung ke Shanghai dan Nanjing tetapi tidak memperdulikan penyokong mereka di negara Asia itu, lapor agensi berita terbesar di dunia, Agensi Xinhua.

City tiba sedikit lewat berbanding jadual asal di China disebabkan masalah penerbangan dan Guardiola memilih tidak mahu bercakap kepada peminat selepas mereka menewaskan West Ham, minggu lalu.

Artikel agensi terbabit melaporkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hanya berminat untuk mendapatkan wang dalam kunjungan itu sedangkan kelab sepatutnya terbabit dengan penyokong setia mereka.

Laporan itu turut menyerang ketua eksekutif City, Ferran Soriano yang mendakwa sasaran utama mereka (City) sebenarnya hanyalah untuk menembusi komersil China seolah-olah mahu melegakan peminat di negara itu dengan wang dibelanjakan mereka.

Laporan itu menyebut: “Tengok saja, ia mungkin dapat dimaafkan andainya ia berlaku sekali, mungkin disebabkan oleh ‘jetlag’ atau jadual yang padat.

“Malangnya, bagi peminat dan media tempatan negara itu, perkara berlaku membuktikan Manchester City tidak menghormati tuan rumah ketika jelajah China.

“Selaku juara EPL, kehadiran mereka di China hanya memenuhi tuntutan komersil.

“Mereka juga tidak kesungguhan dan memberikan layanan berbeza terhadap tuan rumah begitu berbeza dengan wakil-wakil kelab lain.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 6:43 PM