Zidane (kiri) mahu Bale tinggalkan Real secepat mungkin. FOTO REUTERS
Agensi

GARETH Bale sedang menimbangkan tawaran daripada China untuk menjadi pemain bolasepak pertama di dunia menerima gaji £1 juta (RM5.1j) seminggu.

Kelab Liga Super China, Beijing Guoan menawarkan rundingan bebas cukai itu selepas bos Real Madrid, Zinedine Zidane berkata dia mahu pemain Wales itu meninggalkan kelab itu secepat mungkin.

Ejen Bale, Jonathan Barnett melabelkan Zidane ‘sebagai memalukan’ kerana memaksa pemainnya untuk meninggalkan gergasi Sepanyol itu.

Zidane enggan menurunkan Bale ketika Real tewas 3-1 pada perlawanan persahabatan menentang Bayern Munich, semalam, sebaliknya meletakkan pemain berusia 30 tahun itu sebagai penonton.

Mereka langsung tidak bertegur sapa sejak dua tahun lalu dengan pengurus dari Perancis itu mengesahkan: “Kelab sedang berusaha untuk melepaskannya dan itulah sebab dia tidak bermain.

“Kita akan lihat apa akan berlaku dalam masa akan datang. Kita akan lihat sama ia selesai menjelang esok. Jika ia berlaku, lebih baik.

“Kita berharap demi kepentingan setiap orang ia akan berlaku. Kelab ini sedang berunding dengan kelab yang akan disertainya. Ia kebaikan untuk semua pihak.”

Kata-kata Zidane itu mendapat reaksi daripada Barnett yang membalas: “Zidane memalukan bercakap seperti itu terhadap seseorang yang banyak membantu Real.

“Sekiranya dan bila Gareth akan pergi ia adalah disebabkan demi masa depan Gareth dan tiada kena mengena dengan desakan Zidane.”

Bale yang membantu Real merangkul empat gelaran Liga Juara-Juara (UCL) meraih pendapatan sebanyak £600,000 (RM3 juta) seminggu di Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 1:40 PM