SHANE Lowry. FOTO AFP
AFP

PEMAIN golf Ireland Shane Lowry berjaya mengharungi cuaca hujan dan berangin untuk menjuarai kejohanan utama sulungnya di Terbuka British dengan kelebihan empat pukulan ke atas Tommy Fleetwood awal pagi tadi, dan menganggap pencapaiannya itu ‘pengalaman luar biasa’.

Dalam cuaca yang sukar itu, catatan satu di atas par dilakukan Lowry pada pusingan terakhir sudah memadai untuk menamatkan saingan dengan 15 di bawah par keseluruhan untuk menjulang Claret Jug.

“Perasaannya seperti satu pengalaman luar biasa,” kata pemain berusia 32 tahun itu.

“Sesuatu yang menakjubkan untuk berada di sini dengan trofi di depan saya.

“Lihat pada nama di sini. Saya tidak percaya ada nama saya di situ. Saya tidak percaya ia berlaku.”

Fleetwood ternyata tidak mampu memberi tekanan mencukupi ketika Lowry mencatat tidak kurang daripada kelebihan tiga pukulan pada pusingan itu dan double bogey di lubang ke-14 benar-benar menamatkan cabaran pemain England itu yang menamatkan saingan dengan tiga di atas par, mengumpul sembilan di bawah par keseluruhan.

“Lubang 14 benar-benar membawa bencana,” kata Fleetwood.

“Pada beberapa lubang terawal, apabila anda bermula ketinggalan empat pukulan memang sesuatu yang mendesak. Saya tidak dapat memberi tekanan secukupnya pada peringkat itu.”

Disokong sorakan penyokong yang ramai biarpun dengan cuaca buruk di Royal Portrush, Lowry bermula gementar apabila mencatat bogey pada lubang pertama.

Dia bagaimanapun bangkit memburu kemenangan selepas mencatat tiga birdie dalam empat lubang di antara lubang keempat dan ketujuh untuk mencatat 18 di bawah par.

“Saya berada di laman sendiri dan menyempurnakan lubang ke-18. Saya biarkan diri saya menikmatinya dan sesuatu yang menakjubkan ketika menghabiskan lubang ke-18, mereka menyanyi dan suasananya tidak masuk akal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 8:33 AM