BEKAS pemain kebangsaan Zulhamizan Zakaria.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga. Itu perumpamaan paling tepat untuk menggambarkan situasi yang dihadapi bekas pemain kebangsaan yang juga jurulatih Batu 2 FC, Zulhamizan Zakaria.

Sudahlah menjadi mangsa apabila gajinya bersama dua pasukan sejak 2015 tidak dibayar hingga kini, Zulhamizan menerima satu lagi khabar menyedihkan apabila rumah keluarganya di Sungai Isap 2, Kuantan terbakar pagi semalam mengakibatkan bapanya, Zakaria Muhamad dan adiknya Norhaminuddin tinggal sehelai sepinggang.

Sebagai anak sulung, beliau perlu bertanggungjawab dengan nasib yang menimpa keluarganya tetapi apakan daya, untuk membiayai keperluan sendiri juga seakan tidak mampu untuk dilakukan dengan keadaannya ketika ini.

Pada 2015, Zulhamizan mengendalikan kelab Kuantan FA, namun hingga kini, pasukan naungan Majlis Bandaraya Kuantan itu masih berhutang gaji sebanyak RM80,000 kepadanya, sekali gus membuatkan beliau memilih untuk meletakkan jawatan.


RUMAH keluarga Zulhamizan hangus dijilat api.

Beliau melebarkan sayapnya ke pasukan Liga M3, Batu 2 FC, tetapi malang Zulhamizan berterusan apabila kudrat serta bakti yang ditabur kepada pasukan itu tidak mendapat penghargaan sewajarnya.

Hingga kini, Batu 2 FC masih gagal menyelesaikan gaji tertunggak sebanyak RM22,000 kepadanya dan lebih menyedihkan, cek yang diterimanya daripada pengurusan pasukan itu beberapa hari sebelum Aidilfitri, diambil balik dengan alasan mahu membayar secara tunai, tetapi tidak berlaku hingga kini.

“Sebelum ini, saya enggan buka mulut soal tunggakan gaji ini kerana mahu memberi peluang dan masa kepada pengurusan Batu 2 FC untuk menyelesaikannya. Saya tidak mahu menekan mereka, namun janji tinggal janji.

“Insiden kebakaran rumah keluarga saya di Kuantan membuatkan saya semakin terdesak dan saya mohon kepada mereka yang berkenaan supaya tolonglah selesaikan masalah tunggakan gaji saya ini.

“Sekarang ini saya mahu menggunakan wang bagi membaik pulih dan membina kembali rumah keluarga yang musnah dalam kebakaran. Saya harap, pengurusan Batu 2 FC dan Kuantan FA dapat menyelesaikan tunggakan gaji saya secara segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 7:00 AM