GRIEZMANN diperkenalkan di pentas ketika parti sambutan di Tokyo hari ini menjelang Piala Rakuten menentang Chelsea di Saitama. — FOTO AFP
AFP

ANTOINE Griezmann mengakui dia menangis kegembiraan apabila urusan perpindahannya ke Barcelona menjadi kenyataan selepas meninggalkan Atletico Madrid secara kontroversi.

Pemenang Piala Dunia itu berada di Tokyo bersama Barca menjelang pertembungan dengan Chelsea di Saitama, Selasa ini selepas kelab gergasi La Liga itu membelanjakan 120 juta euro (RM554 juta) untuk menyamai klausa tebus kontraknya.

“Saya menelefon bapa dan saya mula menangis kegembiraan kerana perpindahan itu diselesaikan, ia sudah berakhir,” kata Griezmann dalam satu temu ramah dengan akhbar sukan harian Marca.

“Saya bersama rakan, isteri, anak-anak dan ia satu saat mengagumkan.”


GRIEZMANN (kiri) berlatih dengan pertahanan Nelson Semedo di Joan Gamper Sports City, Barcelona, Jumaat lalu. — FOTO EPA

Pemain berusia 28 tahun itu menyasarkan untuk meraih kegemilangan Eropah bersama Barcelona selepas dua penyingkiran mengaibkan buat kelab Catalan itu daripada Liga Juara-Juara pada dua tahun terakhir – di tangan AS Roma dan Liverpool – sesudah mensia-siakan pendahuluan besar pada aksi pertama.

“Jika anda tanya peminat, mereka akan memberitahu anda (mereka mahu menang) semua tiga kejuaraan (La Liga, Liga Juara-Juara dan Piala Raja Sepanyol) begitu juga pemain dan pemimpin kelab, termasuk saya juga,” katanya.

“Kami mempunyai pasukan yang boleh memenangi semuanya. Ia sukar tapi kami perlu berusaha untuk mencapainya.”

Griezmann menjaringkan 133 gol dalam 257 penampilan buat Atletico sejak menyertai mereka pada 2014 dari kelab Basque, Real Sociedad, yang mengambil penyerang itu sejak dia berusia 14 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 10:30 PM