PENYOKONG mengucapkan tahniah kepada pemain Pulau Pinang. -Foto NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my


JURULATIH Pulau Pinang Manzoor Azwira Abdul Wahid tidak menduga mampu membawa skuad terbabit layak ke Liga Super musim depan berikutan skuad terbabit bukan pilihan untuk mengiringi Sabah yang lebih awal dinobat sebagai juara.

Ia berikutan semasa beliau diberi peluang melatih skuad berkenaan penghujung April lalu sasaran diletakkan hanya layak ke Piala Malaysia berdasarkan prestasi pasukan yang tidak menentu.

"Namun usaha gigih yang dilakukan bersama barisan pembantu, pengurusan, pemain dan sokongan peminat mendorong skuad berkenaan mendaki dan puncaknya pada aksi malam tadi yang amat memberansangkan.

“Kami hanya fokus untuk menang pada pertemuan ini dengan peluang layak ke Liga Super tidak terlalu difikirkan menerusi kedudukan pasukan di carta liga sebelum perlawanan,” katanya.

Malah ketika tumpuan dan ramalan awal meletakkan PDRM, UiTM dan Negeri Sembilan berpeluang untuk mara, kemenangan 2-1 keatas The Cops di Stadium Hang Jebat malam tadi membolehkan pasukannya memintas semua lawan terbabit.

Ia berikutan sebelum perlawanan mereka berada di tangga keenam dengan 27 mata sedangkan PDRM di tangga ketiga (30 mata) dan UiTM dan NS di masing-masing 28 mata di tempat keempat dan kelima, namun tiga mata yang diperolehi di Hang Jebat membolehkan mereka meraih satu slot berkenaan.

Ia juga dibantu faktor keputusan seri 1- 1 UiTM dan NS di Shah Alam, justeru kutipan 30 mata Pulau Pinang mengesahkan mereka layak berdasarkan kelebihan jaringan berbanding The Cops.

Menurutnya, pemain berjuang mati-matian sepanjang 90 minit aksi dengan kerjasama padu sejak awal permainan membolehkan jaringan awal menerusi Anselmo Casagrande pada minit ke-10 membuka semangat pemain untuk memburu jaringan tambahan menerusi Mohamad Al Hafiz Harun pada babak kedua.

Katanya, mental pemain juga cukup tinggi untuk bersaing dalam aksi terbabit walaupun tuan rumah memiliki kelebihan moral sebelum perlawanan.

Fokusnya kini membentuk cabaran lebih agresif buat skuad terbabit pada saingan Piala Malaysia, walaupun menyedari masih banyak yang perlu diperbaiki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 1:16 PM