PEMAIN Pahang meraikan kejayaan bersama para penyokong selepas menewaskan pasukan Melaka United. -Foto BERNAMA
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


KEMENANGAN besar 4-1 ke atas Melaka United malam tadi, menjadi penyuntik semangat buat skuad Pahang bagi menghadapi kempen Piala Malaysia bulan depan.

Ia diakui pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh yang percaya aksi cemerlang pada perlawanan penutup tirai Liga Super musim ini memberi petanda positif untuk merampas kembali Piala Malaysia.

Ini kerana kali terakhir Pahang menjulang piala berprestij itu ialah pada 2014.

“Saya gembira dengan komitmen pemain yang sudah menemui kembali sentuhan seperti yang dipersembahkan pada awal musim.

“Jika corak permainan seperti ini dikekalkan dan dipersembahkan dalam kempen Piala Malaysia, kita mampu mengubati kekecewaan gagal mempertahankan Piala FA.

“Bagi saya, kemenangan ke atas Melaka United malam ini (tadi) adalah penamat yang bagus,” kata Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan.

Mengulas kemenangan besar 4-1 ke atas Melaka United, beliau memuji komitmen anak buahnya yang memanfaatkan segala peluang yang terhidang.

Katanya, skuad itu mengekalkan aksi konsisten selepas menewaskan FELDA United FC 3-1, Rabu lalu.

“Saya amat berpuas hati dan mahu semua pemain bersedia untuk menghadapi cabaran dalam saingan Piala Malaysia nanti,” katanya.

Pada perlawanan itu, empat gol, masing-masing dua dijaringkan oleh Lazarus Kaimbi pada minit pertama dan m-69 manakala satu gol dijaringkan Mohamadou Sumareh (m-20) dan Saddil Ramdani (m-89).

Gol tunggal Melaka United pula dijaringkan penyerang import, Luka Milunovic pada minit ke-57.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 12:58 PM