ZAINAL ABIDIN HASSAN
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

PENGENDALI Melaka United, Zainal Abidin Hassan mengakui gol seawal minit pertama menyentap semangat pemainnya yang menyaksikan skuad itu tewas 1-4 kepada Pahang, malam tadi.

Beliau yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, biarpun berusaha bangkit pada babak kedua, beberapa kesilapan menyebabkan skuad itu pulang tanpa sebarang mata.

“Sudah pasti saya kecewa dengan kekalahan ini kerana pemain berjaya merapatkan jurang 1-2 tetapi gagal beraksi dengan baik apabila melepaskan dua lagi gol.

“Walaupun penjaga gol (Ahmad Solehin Mamat) baru kali kedua bermain, dia juga banyak menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya.

“Bagaimanapun, saya akui Pahang bermain baik pada perlawanan ini dan memanfaatkan segala peluang yang dimiliki,” katanya.

Selepas 22 perlawanan, Melaka United menamatkan kedudukan di tangga kelima dengan mengutip 30 mata.

Ditanya persediaan menghadapi kempen Piala Malaysia yang dijadualkan bulan depan, Zainal Abidin mahu anak buahnya mempertingkatkan kualiti permainan.

Katanya, segala kelemahan perlu diperbaiki untuk berdepan cabaran lebih besar dalam saingan piala berprestij itu.

“Saya harap Melaka United akan lebih mantap untuk meletakkan skuad ini melakar keputusan terbaik pada kempen Piala Malaysia musim ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 12:34 PM