PEMAIN dan pegawai Pulau Pinang meraikan kemenangan ke atas PDRM sekali gus layak ke Liga Super tahun depan. — FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my


PULAU Pinang memastikan tempat ke Liga Super tahun depan selepas menewaskan PDRM 2-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Keputusan itu sudah cukup buat Harimau Kumbang mara mengiringi Sabah, walaupun peluang awal lebih memihak PDRM, UiTM dan Negeri Sembilan di carta Liga Perdana.

Pelawat menjaringkan gol pertama seawal minit ke-10 menerusi tandukan bekas import Melaka United, Anselmo Casagrande yang menewaskan penjaga gol Shahril Sa’ari.

Bagaimanapun tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi rembatan leret Patrick Ronaldinho pada minit ke-30 selepas mengutip hantaran R Gopinathan.

The Cops terpaksa melalui saingan memeritkan dengan beraksi 10 pemain pada minit ke-40 selepas import dari Nigeria, Uche Agba dilayangkan kad merah kerana terjahan keras.

Pelawat menambah derita PDRM apabila Mohamad Al Hafiz Harun merembat cantik gol kemenangan pada minit ke-51.

Tuan rumah terus dihambat duka selepas dua lagi pemainnya dilayangkan kad merah pada masa kecederaan memaksa paskan itu beraksi dengan lapan pemain.

Keputusan UiTM FC dan Negeri Sembilan yang seri 1-1 di Shah Alam membolehkan Pulau Pinang memintas kedua-dua pasukan itu dan PDRM untuk mara ke Liga Super musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 12:19 AM