GREENWOOD (dua kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan di Stadium Nasional, malam ini. — FOTO AFP
Reuters

PENYERANG remaja Mason Greenwood meledak gol pada minit ke-75 untuk membantu Manchester United menang 1-0 ke atas Inter Milan pada aksi Piala Juara Antarabangsa di Singapura, malam ini.

Pemain berusia 17 tahun itu meluru ke dalam kotak penalti sebelum merembat kencang bola masuk selepas penjaga gol Inter, Samir Handanovic hanya mampu menampan sepakan percuma mengelirukan Ashley Young.

Greenwood hampir meraih gol kedua beberapa minit kemudian namun sepakannya sedikit melepasi palang susulan gerakan hebat pemain sayap remaja Belanda, Tahith Chong.

Terdahulu, tandukan Nemanja Matic susulan sepakan sudut singgah di palang.

Inter Milan jarang sekali mengancam David de Gea di pintu gol United dalam perlawanan hambar di Stadium Nasional.

Piala Juara Antarabangsa menampilkan 12 pasukan bermain aksi persahabatan di Amerika Utara, Eropah dan Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 10:25 PM