LUKAKU (kanan) menjalani latihan di Perth, Australia, awal minggu ini. — FOTO EPA
Reuters

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mendedahkan Romelu Lukaku tidak cergas untuk bertemu Inter Milan di Singapura malam esok, ketika kelab Itali itu mengulangi keinginan mereka membawa penyerang itu ke Serie A.

Bercakap kepada media hari ini menjelang perlawanan Piala Juara Antarabangsa di Stadium Nasional, Singapura, Solskjaer berkata: “Dia tidak cergas, jadi dia tidak boleh beraksi.”

Ditanya jika Lukaku masih pemain United pada permulaan musim, beliau menjawab ringkas: “Saya tidak mempunyai sebarang kemas kini.”

Lukaku mengalami kecederaan ketika menjalani latihan di Australia, awal minggu ini.

Pemain kebangsaan Belgium itu, yang menyertai United dua tahun lalu, menjadi sasaran Inter Milan, namun rundingan antara dua kelab itu terbantut baru-baru ini, menurut laporan media Britain.

Jurulatih Inter Milan, Antonio Conte, yang turut bercakap kepada media di Singapura hari ini, tidak menyembunyikan hasratnya untuk mengikat Lukaku.

“Saya sukakan pemain ini dan saya menganggapnya pemain penting buat kami jika mahu meningkat. Kami akan tunggu apa yang akan berlaku tapi sudah tentu ketika ini, Lukaku pemain United,” kata Conte.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 10:53 PM