ILHAM antara pelari kuartet 4x400m negara. — FOTO Abdullah Yusof
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


KUARTET 4x400 meter yang dibarisi pelari pelapis menghampiri masa kelayakan ke temasya Sukan SEA Filipina pada kejohanan olahraga Terbuka Vietnam di Ho Chi Minh, hari ini.

Hanya 01.42 saat memisahkan mereka untuk layak secara merit ke temasya dwitahunan itu.

Kuartet negara mencatat 3 minit 09.00 saat tewas di tangan Korea Selatan yang merakam 3:08.68s manakala gangsa diraih Filipina dengan masa 3:11.96s.

Bagaimanapun bagi jurulatih, Mohd Poad Md Kassim beliau yakin kuartet yang dibarisi Luqmanul Hakim Khairul Akmal, Ilham Suhaimi, Saiful Safwan Saifuddin dan Abdul Wafiy Roslan mampu terus cemerlang.


RAJA Nursheena menyumbang emas tunggal negara di Ho Chi Minh. — FOTO Yazit Razali

“Saya yakin mereka mampu untuk memperbaiki catatan itu sekali gus layak ke Sukan SEA.

“Apa yang penting mereka kini perlu yakin dan menjaga disiplin selain fokus kepada latihan,” katanya.

Poad berkata, kuartet berganti-ganti negara itu akan menyertai beberapa kejohanan lagi termasuk Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) pada 17 Ogos depan.

Kontinjen negara menamatkan aksi di Ho Chi Minh dengan satu emas, lapan perak dan enam gangsa.

Emas tunggal sumbangan Raja Nursheena Raja Azhar dalam acara 100m lari berpagar wanita dengan masa 14.50s. Dia meraih perak pada temasya Sukan SEA dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 9:54 PM