TUN Hakim (tengah), Muaz (kiri) dan Rafiq kuasai tiga tangga teratas kategori lelaki. — FOTO MTBC
Nor Hairulnizam Wahid
hairulnizam@mediaprima.com.my


SKUAD boling negara berada di landasan tepat apabila mendominasi saingan Terbuka Hong Kong yang menamatkan Final Masters Pusingan I hari ini.

Semalam, tiga jagoan boling negara Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Ahmad Muaz Fishol dan Rafiq Ismail menyerlah apabila menyapu bersih tiga tangga teratas kategori lelaki.

Nur Syazwani Sahar pula mengungguli kategori wanita sekali gus menyaksikan empat pemain itu menempah tiket ke Final Masters Pusingan II tanpa perlu beraksi hari ini.

Pencapaian mereka ternyata merintis jalan untuk lebih ramai atlet negara merebut slot mara ke Final Masters Pusingan II yang berlangsung esok.


NUR Syazwani Sahar. — FOTO MTBC

Bagi kategori lelaki Hafiz Zainuddin mendahului pencapaian terbaik atlet negara pada Pusingan I semalam di tangga ketiga dengan 1,793 jatuhan pin selepas lapan game.

Ia diikuti Timmy Tan di tangga kelapan dengan 1,695 jatuhan pin, Muhammad Azizi Naim ke-10 (1,683) dan Alex Liew ke-11 (1,680) dalam senarai 18 terbaik yang layak.

Nora Lyana Natasia tampil atlet terbaik wanita negara di tangga keempat dengan 1,724 jatuhan pin diikuti Faten Najihah keenam (1,695), Radin Nur Najwa kelapan (1,671) dan Nur Amirah Auni ke-13 (1,579) untuk mengisi 15 pemain terbaik layak ke pusingan seterusnya.

Seramai 24 pemain lelaki dan 21 wanita akan bertarung untuk mara ke aksi stepladder yang juga berlangsung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 8:52 PM