SKUAD Tambadau fokus cabaran Piala Malaysia.
Ryan Stanley
sukanteam@nstp.com.my

JUARA Liga Perdana, Sabah akan merehatkan beberapa tonggak utama bagi menghadapi Terengganu FC II (TFC II) dalam aksi terakhir saingan liga di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, esok.

Pengendalinya, Jelius Ating, berkata, beliau akan mengambil peluang untuk menguji pemain yang jarang diturunkan tetapi beliau menegaskan ia bukan bermakna aksi itu hanya sebagai pelengkap jadual Liga Perdana musim ini sebaliknya lebih kepada strategi bagi menghadapi saingan Piala Malaysia akan datang.

"Beberapa pemain utama berisiko digantung permainan jika dilayangkan kad kuning pada perlawanan itu dan kita tidak mahu ambil risiko kerana kita mahu memulakan saingan Piala Malaysia yang dijadualkan bermula awal Ogos depan dengan skuad terbaik.

"Ada juga pemain utama yang mengalami sedikit kecederaan, jadi sebaiknya mereka direhatkan bagi mengelak kecederaan lebih serius," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius berkata, tujuan beliau menurunkan pemain simpanan juga untuk menjadikan mereka lebih bersedia bagi menghadapi Piala Malaysia kerana mereka juga bakal memainkan peranan nanti.

"Kami mahu satu skuad yang besar dalam Piala Malaysia nanti, oleh itu semua pemain termasuk simpanan perlu bersiap sedia sepenuhnya," katanya.

Antara tonggak dijangka direhatkan ialah penjaga gol Rozaimie Rohim, Alto Linus, Mohd Azizan Nordin, Jenius Karib dan penyerang import, Rodoljub Paunovic.

Paunovic, Mafry Balang dan Dendy Lowa antara yang berisiko digantung perlawanan jika dilayangkan kad kuning.

Turut tidak dibawa ke Terengganu ialah Evan Wensley yang menjalani penggantungan satu perlawanan.

"Saya difahamkan sekiranya ada pemain digantung perlawanan selepas aksi esok, ia akan dibawa ke Piala Malaysia tetapi jika belum sampai digantung, semua kad kuning dikumpul tidak akan dikira lagi dan faktor inilah saya ambil kira sebelum menyenaraikan pemain bagi menghadapi TFC II," katanya.

Sebarang keputusan malam esok tidak akan mengubah kedudukan Sabah yang telah dinobatkan sebagai juara Liga Perdana lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 11:17 AM