SKUAD negara kendalian Megat Azrafiq (kiri). — FOTO Twitter Asia Hockey
BERNAMA

SKUAD lelaki negara mengalami kekalahan sulung pada kejohanan hoki Piala Asia Dalam Dewan selepas tewas 1-4 di tangan juara bertahan, Iran dalam saingan Kumpulan A di Chonburi, Thailand.

Ia kekalahan pertama skuad kendalian Megat Azrafiq Megat Termizi selepas menewaskan Bangladesh 6-0 pada perlawanan pembukaan Isnin lalu dan berpesta gol 20-1 ke atas Filipina dalam perlawanan kedua, semalam.

Bagaimanapun, Malaysia perlu mengatasi tuan rumah Thailand esok untuk memastikan tempat ke separuh akhir.

Iran mendahului seawal minit keenam menerusi jaringan sudut penalti oleh Reza Norouzzadeh sebelum menggandakan jaringan pada minit ke-19 menerusi jaringan padang Mohammad Asnaashari.

Malaysia merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh kapten, Mohd Hanip Che Halim pada minit ke-28 sebelum Iran bangkit pada 10 minit terakhir untuk menambah jaringan menerusi jaringan peribadi kedua Reza pada minit ke-35 dan Hamid Nooranian pada minit ke-40.

Sementara itu, skuad wanita negara mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menewaskan Taiwan 2-0 pada perlawanan terakhir Kumpulan B.

Kedua-dua gol itu hadir pada babak kedua menerusi jaringan padang Siti Arfah Mohd Nor pada minit ke-23 dan Nur Afiqah Syahzani Azhar pada minit ke-30.

Malaysia membuka kempen dengan mengalahkan Singapura 4-0 Isnin lalu sebelum kalah 1-2 kepada Thailand semalam.

Juara dan dan naib juara lelaki serta juara wanita akan memperoleh tiket ke Hoki Piala Dunia Dalam Dewan 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 12:29 AM