KHAIRUL (depan) muncul naib juara recurve dunia di Belanda, bulan lalu. — FOTO World Archery
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


CABARAN pemanah negara berakhir pada suku akhir Kejohanan Memanah Ujian Olimpik di Tokyo, hari ini.

Harapan disandarkan kepada naib juara recurve dunia, Khairul Anuar Mohamad tidak kesampaian apabila dia terpaksa akur kepada pemanah dari Korea Selatan, Kim Woojin.

Khairul bermula dengan baik apabila menang set pertama mengatasi Woojin namun kebangkitan lawan sukar digugat apabila menang 7-3 dalam pertarungan lima set.

Seorang lagi pemanah negara, Mohd Akmal Nor Hasrin tersingkir pada pusingan ketiga apabila tewas 1-7 di tangan juara dunia, Brady Ellison dari Amerika Syarikat.


YUMENOSHIMA Park, gelanggang pertandingan memanah Sukan Olimpik Tokyo 2020. — FOTO World Archery

Pencapaian terbaik kategori wanita adalah menerusi Nur Aliya Ghapar yang turut terkandas 0-6 pada suku akhir di tangan Tan Ya Ting dari Taiwan.

Malaysia tidak menetapkan sasaran pada kejohanan itu namun lebih terarah kepada pemanah menyesuaikan diri dengan gelanggang pertandingan Olimpik Tokyo 2020 di Yumenoshima Park.

Setakat ini, hanya Khairul menempah tiket ke Olimpik namun skuad negara masih mengharapkan mampu meraih tiket acara berpasukan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 8:54 PM