KIERAN TRIPPIER
Agensi

KIERAN Trippier menyampaikan mesej terima kasih kepada penyokong Tottenham, atas sokongan sepanjang berada di kelab itu sebelum menyertai Atletico Madrid.

Pemain England itu melengkapkan perpindahannya ke kelab La Liga awal pagi tadi dengan kontrak selama tiga tahun dengan bayaran awal £20 juta (RM102.3 juta) selain bayaran tambahan lain.

Pemain berusia 28 tahun itu dianggap melebihi keperluan Spurs biarpun sering menyertai kesebelasan utama dalam sepanjang tiga musim terakhir dan membuat 38 penampilan musim lalu.

Bagaimanapun dia hanya memberikan kata-kata manis buat bekas pasukan dan penyokong, dengan ucapan terima kasih kerana membawa kelab ke tahap tinggi.

“TERIMA KASIH. Saya bertemu orang yang hebat di @spursofficial ramai di antara mereka saya panggil rakan,” kata Trippier menerusi Instagram.

“Kepada peminat Tottenham seluruh dunia, anda memang menakjubkan. Sokongan yang anda berikan terhadap saya dan pasukan meletakkan kami ke tahap lebih tinggi dan dengan stadium baharu, saya yakin pasukan dan peminat akan menikmati saat terindah selepas ini!”

“Saya doakan yang terbaik buat semua di kelab.”

Menerusi wawancara pertamanya sebagai pemain Atletico Madrid, Trippier memberitahu laman sosial kelab itu: “Perasaan yang menakjubkan. Saya sentiasa mahu bermain di luar negara dan tempat yang indah untuk tinggal, di Madrid.

“Ia mempunyai pasukan menakjubkan dan jurulatih hebat dan saya tidak sabar untuk menyertainya bersama pasukan.”

Trippier mungkin beraksi seawal Ahad ini apabila Atletico menentang Numancia dalam aksi persahabatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 12:46 PM