LAURENT KOSCIELNY
Agensi

ARSENAL dijangka memotong sebahagian gaji Laurent Koscielny kerana keengganannya mengikuti jelajah pra-musim, menurut laporan di Perancis.

Kapten kelab itu mengingkari arahan pengurus Unai Emery untuk menyertai rakan sepasukan pada jelajah Amerika Syarikat ketika dia berusaha untuk meninggalkan pasukan Emirates itu.

Akhbar Perancis L’Equipe melaporkan bahawa peguam mewakili pemain dan kelab itu akan berjumpa lagi minggu ini dan wakil Koscielny menjangkakan sebahagian daripada gajinya akan dipotong.

Bagaimanapun tiada petunjuk bagaimana situasi ini dapat diselesaikan ketika pemain Perancis itu mahu dilepaskan daripada kontraknya lebih awal tetapi kelab enggan menurut kehendaknya.

Bordeaux berminat mendapatkan bek tengah itu tetapi masih belum membuat tawaran terhadapnya.

Emery bercakap mengenai situasi itu: “Dia mula berlatih dengan kami pada pra-musim kali ini dan saya bercakap dengannya tiga kali berhubung situasi itu. Kami mahu dia menyertai kami dalam jelajah tetapi dia memutuskan untuk tinggal di sini.

“Kini terpulang kepada kelab dan pemain itu sendiri.

“Dia mempunyai baki setahun dalam kontraknya. Bagi saya sebagai jurulatih dia seorang pemain yang penting. Kini terpulang kepada pemain itu dan kelab.

“Kelab dan pemain itu perlu berbincang, mereka bercakap mengenai situasinya. Saya tidak boleh kata lebih daripada itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 12:43 PM