SISTEM ranking pantau pemain.
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


KUALA LUMPUR: Pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu kekal konsisten kerana mereka bakal bersaing dengan pemain profesional sebaik sistem ranking kebangsaan mula diguna pakai bermula 1 Ogos depan.

Ini bermakna semua pemain di bawah badan induk itu ataupun profesional tidak boleh leka kerana kedudukan ranking kebangsaan penting untuk masa depan karier mereka.

Menurut Pengurus Besar BAM, Michelle Chai, kedudukan ranking tempatan adalah untuk melihat situasi semasa pemain negara selain kedudukan pilihan bagi menyertai mana-mana kejohanan tempatan.

“Kita menggunakan konsep dan cara kita sendiri, tapi ia mungkin akan sama dengan mana-mana negara yang mengamalkan sistem ranking tempatan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Beliau berkata, ia juga seakan sama dengan pengiraan ranking dunia yang diperkenalkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) cuma untuk ranking tempatan ia hanya membabitkan pemain Malaysia saja.

Pengiraan ranking itu juga membabitkan semua kategori iaitu perseorangan dan beregu lelaki, perseorangan dan beregu wanita, serta beregu campuran.

Selain pemain BAM, beberapa lagi pemain profesional dilihat mempunyai potensi untuk bersaing secara sihat bagi membuktikan siapa sebenarnya paling cemerlang.

Antara pemain profesional yang berada di kedudukan terbaik dalam ranking dunia ialah Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran), Liew Daren, Soo Teck Zhi, Iskandar Zulkarnain Zainuddin (perseorangan lelaki) serta Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Arif Latif-Azriyn Ayub dan Chooi Kah Ming-Low Juan Shen (beregu lelaki).

Sebelum ini dalam kolum Drop Shot Metro Ahad, bekas pemain beregu lelaki negara, Datuk Seri Jalani Sidek berpendapat sistem ranking pemain kebangsaan tidak sesuai untuk dijalankan ketika ini.

“Jadi, bagaimana mereka mahu memperbaiki ranking sekiranya tidak dihantar menyertai kejohanan. Sekiranya ia membabitkan isu untuk mencari pemain terbaik dalam acara berpasukan seperti Piala Thomas, Uber atau Piala Sudirman, maka saya rasa penggunaan sistem ranking ini memang sesuai,” kata Jalani.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 8:00 AM