HALLER kini pemain termahal di Stadium London. — FOTO whufc.com
AFP

WEST Ham memecah rekod perpindahan mereka hari ini apabila mengikat penyerang Perancis, Sebastien Haller dari Eintracht Frankfurt.

Haller bersetuju dengan kontrak lima tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu dengan bayaran £45 juta (RM230 juta), mengatasi £42 juta (RM215 juta) dibayar Hammers untuk membeli Felipe Anderson dari Lazio tahun lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu meledak 20 gol dalam 41 penampilan bersama kelab Bundesliga, Eintracht musim lalu.

“West Ham United gembira mengumumkan kehadiran penyerang prolifik Perancis, Sebastien Haller, rekod baharu pembelian kelab ini,” menurut satu kenyataan.

Bekas pemain B-21 Perancis yang bermula di Auxerre, Haller menggantikan Marko Arnautovic di Stadium London selepas West Ham menjual penyerang Austria itu kepada kelab China, Shanghai SIPG baru-baru ini.

“Saya berasa terlalu hebat. Saya fikir ia peluang yang amat bagus buat saya untuk berada di sini. Ia terlalu bermakna (untuk menjadi pemain termahal). Ia membuktikan kelab ini memang mahukan saya sejak sekian lama,” kata Haller kepada laman web West Ham.

“Saya boleh memberi jaminan akan memberikan 100 peratus buat kelab kerana kelab ini sudah memberikan saya keyakinan dan saya akan cuba membalasnya setiap hari dalam setiap perlawanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 12:23 AM