DYBALL (kanan) berada di podium selepas menduduki tangga ketiga peringkat keempat Tour of Qinghai Lake, hari ini. — FOTO Team Sapura Cycling
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


PELUMBA Team Sapura Cycling (TSC), Benjamin Dyball bertindak cemerlang apabila menduduki tangga ketiga peringkat keempat Tour of Qinghai Lake, hari ini.

Pemenang jersi kuning Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 dari Australia itu menamatkan perlumbaan dari Guide ke Longyangxia sejauh 100.46 kilometer ketinggalan 16 saat di belakang Hernan Aguirre dari Interpro Academy yang muncul juara dengan masa dua jam 42 minit 20 saat.

Ia podium kedua bagi TSC pada perlumbaan berstatus hors dan mempertandingkan 13 peringkat secara keseluruhan.

“Lapan kilometer terakhir selepas menuruni bukit, dia melakukan pemecahan untuk memastikan kedudukan podium hari ini,” jelas pengurus TSC, Mohd Sayuti Zahit.


DYBALL (dua kiri) bersama rakan sepasukan selepas tamat perlumbaan. — FOTO Team Sapura Cycling

Sayuti berkata, peringkat keenam, ketujuh dan kelapan lebih getir kerana dijangka menjadi penentu untuk merebut jersi kuning.

Dyball kini berada di kedudukan kelima jersi kuning, melonjak enam anak tangga selepas meraih kedudukan ketiga hari ini.

Selain Dyball, enam lagi pelumba yang beraksi di Tour of Qinghai Lake adalah Zawawi Azman, Akmal Hakim Zakaria, Cristian Raileanu, Jesse Ewart, Mario Vogt dan Marcus Culey.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 8:49 PM