ABD Karim (dua dari kiri) menyerahkan tiket kepada Haris. - FOTO Faiz Anuar.
Ruwaida Md Zain
sukanteam@nstp.com.my

HAMPIR 70,000 penonton dijangka membanjiri Stadium Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor (The Sultan of Selangor's Cup (TSSC) 2019 pada 24 Ogos depan.

Pengerusi Piala Sultan Selangor 2019, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, beliau menjangkakan sambutan hangat diberikan memandang sebelum tiket dijual, pihaknya sudah menerima banyak tempahan daripada pelbagai pihak.

"Semangat penyokong pasukan berkobar-kobar apatah lagi tahun lalu kami memenangi tiga trofi, bawah 16, veteran dan Pilihan Selangor.

"Saya berharap tahun ini kita dapat mengekalkan ketiga-tiga piala itu walaupun Singapura begitu bersungguh-sungguh untuk membawa pulang piala itu.


KAKITANGAN MBSA bersama tiket Piala Sultan Selangor.

"Saya yakin dengan sokongan dan maklum balas daripada semua pihak, kami jangka Stadium Shah Alam akan penuh dengan penyokong dan dengan semangat itu, piala kekal dalam tangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Tiket Perlawanan Bola Sepak sempena The Sultan of Selangor's Cup 2019 di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim.

Karim berkata, MBSA menjadi lokasi pertama promosi TSSC 2019, diikuti pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Selangor dan lokasi lain.

"Terima kasih kepada Datuk Bandar Shah Alam dan anggotanya memberikan kemudahan mempromosikan TSSC 2019. Esok kami akan ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), seterusnya Sepang, Klang dan jelajah ini mengambil masa dua minggu.

"Sabtu ini saya akan bertemu semua persatuan penyokong dan pada Sabtu 27 Julai pula kempen promosi dengan orang awam.

“Tiket pula akan mula dijual dalam minggu ini. Dalam jelajah promosi, kita akan beritahu di mana dan bila tiket boleh dibeli dan siapa untuk dihubungi," katanya.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan tiket perlawanan kepada Haris, serta kepada pengurus pasukan bola sepak MBSA dan pemain MBSA.

Tiket perlawanan itu juga diserahkan kepada Soccerkids MBSA iaitu pasuka cilik yang diuruskan MBSA dan wakil Kelab Rekreasi.

Sementara itu, Haris menyerahkan tiket kepada Timbalan Datuk Bandar, Mohd Rashidi Ruslan mewakili pengarah, ketua jabatan dan ketua bahagian serta pengurus cawangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 1:25 PM