TZE Liang hanya mampu menduduki tangga ke-25 dengan catatan 376.90 mata.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

HASRAT dua penerjun negara Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei melayakkan diri ke separuh akhir 3 meter papan anjal di Kejohanan Akuatik Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan tidak kesampaian.

Mereka gagal menempatkan diri dalam kelompok 18 terbaik untuk layak beraksi di separuh akhir yang berlangsung petang ini.

Kegagalan itu bermakna kedua-dua atlet negara itu gagal mendapatkan tiket awal ke temasya Olimpik Tokyo tahun depan.

Bagaimanapun, masih ada dua lagi kejohanan menawarkan tiket ke Olimpik iaitu Kejohanan Asia di Kuala Lumpur dari 6 hingga 8 September selain Piala Dunia di Tokyo pada April tahun depan.

Pada aksi peringkat saringan itu Tze Liang menamatkan saingan di kedudukan ke-25 selepas mengumpul 376.90 mata manakala Yiwei di tempat ke-41 dengan 332.65 mata selepas enam terjunan.

Saingan pusingan awal itu dikuasai penerjun China, Xie Siyi yang mengumpul 499.15 mata diikuti atlet Britain, Jack Laugher 485.50 dan Woo Haram, 457.70 mata.

Skuad terjun negara berpeluang untuk menambah kutipan pingat apabila penerjun sensasi negara Pandelela Riong yang sudahpun menempah tiket ke temasya Olimpik turun beraksi di peringkat akhir 10m platform pada jam 7.45 malam waktu Malaysia.

Terdahulu gandingan Pandelela bersama Leong Mun Yee menyumbang perak dalam acara 10m terjun seirama sekali gus layak ke Olimpik Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 1:13 PM