JACKIE idam catatan lebih 70 meter.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

ATLET baling tukul besi negara, Jackie Wong mahu terus kekal konsisten agar fokus utama untuk meraih emas di temasya Sukan SEA Filipina dapat direalisasikan.

Minggu lalu atlet yang menduduki ranking ke-97 dunia itu melakukan balingan 65.83 meter (m) untuk menduduki tempat ketiga di Kejohanan Olahraga China di Shenyang.

Biarpun catatan itu kurang daripada rekod kebangsaan miliknya yang dilakukan di Terbuka Korea, 67.31m, ia memang sesuatu sudah dijangka.

"Jika dilihat jarak balingan memang saya kurang puas hati, tapi saya dan jurulatih memang tidak tumpu kepada kejohanan itu. Ia sebahagian daripada latihan sepanjang saya berada di China ini," katanya yang kini berada di China untuk menjalani latihan intensif.

Mengulas mengenai perkembangan latihannya di China, Jackie yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) berkata, semuanya berjalan lancar biarpun daripada segi prestasi agak menurun selepas Terbuka Korea.

Dia yang akan kembali ke tanah air minggu depan bagaimanapun masih mempunyai beberapa kejohanan sebelum turun mempertahankan emas di temasya dwi tahunan itu November ini. Jackie dijadualkan menyertai Kejohanan Olahraga Angkatan Tentera Malaysia, Terbuka Malaysia dan Kejohanan Jemputan Mokpo.

Selepas 15 kali memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri, Jackie kini menyasarkan melakukan jarak balingan lebih jauh iaitu 70 meter. Terdahulu pada awal bulan ini, dia memadam rekod lama miliknya sendiri di Kejohanan Terbuka Korea di Gwangju dengan catatan 67.31 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 12:21 PM