DR Siti Faidul Maisarah dan Adly menjulang piala Tun Sharifah Rodziah di Stadium Hang Jebat, semalam. - FOTO Khairunisah Lokman
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my

PIALA Tun Sharifah Rodziah 2019 dijulang di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput semalam pada majlis sambutan kejuaraan pasukan wanita Melaka United (MU) menewaskan Kedah, Ahad lalu.

Penyampaian berlangsung ketika waktu rehat Liga Super membabitkan Melaka berdepan PKNS disempurnakan Ketua Menteri, Adly Zahari yang menyampaikan trofi berprestij terbabit kepada pengurus pasukan, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah sambil diiringi pemain dan jurulatih mereka.

Lebih manis ianya turut disaksikan hampir 3,000 penyokong bola sepak Melaka yang hadir di stadium berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Maisarah berkata, selepas mencatat sejarah, perancangan adalah untuk menubuhkan kelab bola sepak wanita Melaka yang bertujuan mengekalkan pembentukan pemain terbaik buat skuad berkenaan.

"Ianya merangkumi projek akar umbi yang menjadi asas kepada pembangunan generasi pemain terbaik wanita masa depan.

"Malah tidak mustahil kita mampu beraksi di pentas Piala Dunia satu hari nanti namun memerlukan asas yang kukuh sebelum mampu melangkah sejauh itu,'katanya.

Menurutnya, kemenangan berkenaan juga sebagai penebus maruah kekalahan kepada lawan sama di pentas final musim lalu.

Pada aksi final di UiTM Shah Alam, anak buah jurulatih Jamil Hassan mengatasi Helang Merah 3-1 menerusi penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan pada aksi sepenuh masa sekali gus membolehkan skuad Hang Tuah membawa pulang RM50,000 dan RM5,000 bagi anugerah fair play.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 11:33 AM