LAMPARD (empat kanan) turut menyertai latihan bersama pemain Chelsea di Yokohama. — FOTO chelseafc.com
AFP

LEGENDA Chelsea, Frank Lampard menyatakan beliau tidak menoleh ke belakang ketika berdepan kemungkinan cabaran terbesar dalam kariernya: mengurus bekas pasukannya sendiri.

Bercakap di Jepun yang mana Blues bermain dua perlawanan persahabatan, Lampard berkata, beliau “amat gembira” dengan skuadnya namun menjangkakan untuk bekerja keras sepanjang pramusim.

“Bagi saya ceritanya adalah jangan pandang belakang,” kata Lampard, yang disahkan awal bulan ini sebagai ketua jurulatih bekas kelabnya.

“Saya amat mengenali kelab ini, saya amat kenal dengan pemain. Saya mempunyai cara sendiri untuk bekerja dengan pemain,” katanya di Yokohama, yang mana Chelsea berdepan kelab Jepun, Kawasaki Frontale Jumaat ini.


LAMPARD (dua kanan) bersama pemainnya Mateo Kovacic (kanan) ketika sidang akhbar di Yokohama, hari ini. — FOTO Reuters

Lampard sedar mengemudi Blues satu tugas getir apatah lagi Chelsea kehilangan pemain terbaik mereka Eden Hazard yang berpindah ke Real Madrid bulan lalu selain menjalani penggantungan pembelian pemain bagi dua jendela perpindahan.

Namun beliau berkata, tiada gunanya untuk merungut mengenai penggantungan itu.

“Saya fikir saya mempunyai pemain yang amat bagus. Kami tidak boleh membeli pemain baharu... kami tahu mengenainya tapi saya amat gembira dengan skaud semasa.

“Tugas saya sekarang untuk bekerja keras pada pramusim bersama mereka. Saya suka pasukan saya bermain dengan banyak tenaga dan kepantasan, dengan bola atau tidak, jadi saya mahu mereka merampas bola secepat mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 12:08 AM