NEYMAR gigih memanaskan badan sebelum sesi latihan PSG, semalam. - FOTO Agensi
Agensi

NEYMAR memberitahu Paris Saint-Germain dia mahu meninggalkan kelab itu, menurut Sky Sports.

Bintang Brazil itu gagal hadir jalani sesi latihan pramusim minggu lalu tetapi akhirnya muncul melaporkan diri semalam.

Bagaimanapun, dia turut dilaporkan berunding dengan Pengarah Sukan PSG, Leornado mengenai masa depannya.

Sky Sports melaporkan PSG berusaha meyakinkan penyerang itu supaya bertukar fikiran dan Neymar pula tidak mendedahkan destinasi seterusnya ketika rundingan itu.

Barcelona menjadi sasaran utama walaupun mereka baharu sahaja mendapatkan Antoine Griezmann dengan harga £108 juta (RM555 juta).

Neymar meninggalkan Barcelona dengan nilai kontrak rekod dunia £198 juta (RM1.03 bilion) dua tahun lalu tetapi kini mahu kembali semula ke pangkuan gergasi La Liga itu.

Pemain berusia 27 tahun itu tidak dapat beraksi bersama Brazil sepanjang kempen Copa Amerika baru-baru ini akibat kecederaan buku lali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2019 @ 9:44 AM